Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa
wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih
mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga,
namun Nabi Adam a.s tetap rindukan Siti Hawa.
Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau
puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh
lelaki. Tetapi kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak
meluruskan mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang
lurus.
Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjuk Allah,
kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan
dari-Nya. Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar.
Jangan hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Yang
sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada zat
Allah yang kekal, disitulah suisnya.
Akal setipis rambutnya, tebalkan dengan ilmu. Hati
serapuh kaca, kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera, hiasilah dengan
akhlak. Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan
keadilan Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun tidak jadi
ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri negara atau ‘women
gladiator’. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan.
Itu bukan diskriminasi Tuhan. Sebaliknya disitulah kasih sayang Tuhan, kerana
rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan lelaki-lelaki waja:
negarawan, karyawan, jutawan dan “wan-wan” yang lain. Tidak akan lahir
‘superman’ tanpa ‘superwoman’.
Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak
terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan
sahaja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula membengkokkan.
Lebih ramai lelaki yang dirosakkan oleh perempuan
daripada perempuan yang dirosakkan oleh lelaki. Sebodoh-bodoh perempuan pun
boleh menundukkan sepandai-pandai lelaki. Itulah akibatnya apabila wanita tidak
kenal Tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri, apalagi mengenal
lelaki. Kini bukan saja ramai boss telah kehilangan ‘secretary’, bahkan anak
pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan kehilangan puteri.
Bila wanita derhaka dunia lelaki akan huru-hara. Bila
tulang rusuk patah, maka rosaklah jantung, hati dan limpa. Para lelaki pula
jangan hanya mengharap ketaatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum
memimpin wanita menuju Allah pimpinlah diri sendiri dahulu kepada-Nya.
Jinakkan diri dengan Allah, nescaya akan jinaklah
segala-galanya dibawah pimpinan kita. Jangan mengharap isteri seperti Siti
Fatimah, kalau peribadi belum lagi seperti Sayidina Ali.
Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa
kreatif dalam mendidik isteri. Allah SWT bekalkan kepada kaum lelaki kekuatan
akal yang rasional, tidak terlalu emosional atau mudah didorong oleh perasaan.
Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan wanita. Jika kekuatan akal ini
dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah pula dengan kesabaran serta
kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga, seorang suami akan menjadi
pelindung dan pendidik yang berwibawa.
Firman Allah SWT:
“Lelaki
adalah pemimpin (pembela dan pelindung) bagi wanita, kerana Tuhan telah
melebihkan yang satu dari yang lainnya, dan kerana suami telah menafkahkan
sebahagian daripada hartanya.”
Kebahagiaan rumahtangga dapai diraih apabila suami
dapat menggunakan kekuatan akalnya serta kesabaran dalam menghadapi kerenah dan
ragam isteri. Secara mudah, bolehlah dikatakan lelaki adalah makhluk akal
manakala wanita adalah makhluk rasa. Perasaan wanita terlalu mudah terusik
dengan suasana dan keadaan sekeliling. Oleh itu dalam menghadapi wanita, lelaki
hendaklah banyak menggunakan daya fikir. Kalau umpamanya isteri sedang berduka,
suami perlu merancang untuk mewujudkan perasaan gembira di dada isteri. Di
sinilah perlunya strategi dalam mendidik isteri.
Kaum wanita memang dibekalkan dengan sembilan nafsu dan
akal berbanding dengan lelaki hanya satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang
dimaksudkan bukanlah nafsu seks semata-mata tetapi nafsu yang menyebabkan
seseorang itu mudah hilang sabar, mudah berprasangka, pemarah, pemboros dalam
berbelanja, cepat tersinggung dan sebagainya. Pendek kata, hasil dorongan nafsu
itulah lahirnya pelbagai perasaan di dada wanita. Sebab itu dikatakan juga
bahawa sembilan persepuluh daripada diri wanita itu ialah perasaan dan satu
persepuluh saja pertimbangan akal. Atas dasar inilah isteri mesti dipandu atau
dibimbing oleh suami agar segala tindak tanduknya tidak melulu ikut perasaan
semata-mata.
Sembilan nafsu pada diri wanita boleh menyebabkan
kerosakan pada masyarakat dan keruntuhan rumahtangga jika tidak dipagari dengan
ilmu syariat. Mahu tidak mahu suami terpaksa mempelajari sedikit sebanyak ilmu
untuk menundukkan wanita atau psikologi wanita serta memenuhkan dada dengan
ilmu syariat. Barulah nanti dapat menggunakan kebijaksanaan dalam mendidik
isteri sekalipun adakalanya menghadapi ragam isteri yang mencabar kesabaran
suami.
Kebijaksanaan mesti disertai pula dengan kesabaran.
Kedua-duanya mesti ada pada seorang suami. Kesabaran tanpa kebijaksanaan
menyebabkan suami menurut saja kemahuan isteri sehingga isteri lupa daratan.
Manakala kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami tewas dengan
nafsunya sendiri sehingga bertindak ganas dan boleh mencederakan isteri.
Maknanya, tanpa kesabaran seseorang itu hilang
pertimbangan akal dan tidak dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan tenang.
Jika kesabaran tidak ada pada diri, ia perlu diusahakan melalui latihan
berpandukan ilmu tasauf. Contoh bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu
wanita dapat dilihat pada satu kisah seorang perempuan tua yang suka mengganggu
Rasulullah SAW.
Tatkala Rasulullah SAW lalu di sebelah rumahnya,
perempuan tua itu akan membaling sampah kepada Rasulullah SAW. Adakalanya dia
menaburkan sampah dan serpihan kaca di sepanjang jalan yang akan dilalui oleh
Rasulullah SAW. Bahkan pernah juga dia membaling najis semasa Baginda lalu di
sebelah rumahnya. Namun sedikit pun tidak dipedulikan oleh baginda. Suatu hari
Rasulullah SAW rasa pelik kerana perempuan tua itu tidak menghalangi lagi
perjalanannya baik dengan serpihan kaca mahupun dengan sampah yang dibalingkan.
Apabila pulang dari masjid, baginda bertanya kepada jiran perempuan tersebut.
Rupa-rupanya perempuan itu sakit. Lalu Baginda naik ke rumahnya dengan tujuan
untuk berziarah. Rasulullah SAW bertanyakan khabar dan tolong memasakkan air
untuk perempuan tua itu. Alangkah terkejutnya perempuan tersebut melihat akhlak
Baginda yang sanggup menziarahi dan membantunya tatkala dia sedang sakit.
Akhirnya dengan sifat sabar, Rasulullah menghadapi kerenah perempuan tua itu,
menyebabkan terbuka hatinya untuk mengucap dua kalimah syahadah.
Dalam peristiwa yang lain, pernah Rasulullah SAW
melintasi sekumpulan kaum perempuan, lalu Baginda memberi salam. Namun tiada
seorang pun yang menjawab salam baginda. Rasulullah SAW memberi salam sekali
lagi. Mereka masih diam juga. Akhirnya setelah tiga kali Rasulullah beri salam,
barulah mereka menjawab salam baginda. Apabila ditanya mengapa mereka tidak
menyahut salam yang pertama dan kedua, mereka menjawab: “Kami sengaja mahu
Rasulullah SAW mendoakan untuk kami.”
Begitu Rasulullah SAW mendidik kaum wanita. Walaupun
sesekali kesabaran baginda rasanya tercabar, tetapi Baginda masih dapat
menunjukkan akhlak yang paling baik. Kadangkala apabila berhadapan dengan kaum
perempuan yang pendek akalnya, kaum lelaki mudah naik angin. Memang tidak
dinafikan ada masanya perempuan mengambil masa untuk memahami sesuatu perkara.
Tetapi kaum lelaki mestilah menyedari hakikat bahawa kaum perempuan memang
sediakala lemah pemikirannya. Oleh itu, suami mestilah bersedia untuk mendidik
isteri dengan penuh kasih sayang tanpa rasa jemu walaupun mengambil masa yang
panjang.
Suatu ketika datang seorang perempuan berjumpa
Rasulullah SAW dan bertanya tentang mandi hadas. Rasulullah SAW menjawab:
“Ambillah
sepotong kain perca yang sudah dikasturikan lalu berwuduk dengannya.” Perempuan
itu terpinga-pinga kerana tidak memahami keterangan Rasulullah. Lantas dia
mengulangi lagi pertanyaannya: “Bagaimana saya hendak berwuduk dengan itu?”
Sekali lagi Rasulullah mengulangi jawapan baginda. Tetapi perempuan yang
bertanya masih belum memahaminya. Lalu Rasulullah SAW meminta kepada Siti
Aishah r.a. supaya menerangkan kepada perempuan itu. Maka Siti Aishah pun
berkata: “Ambil sepotong kapas yang bersih, lalu letakkan di tempat darah. Jika
kapas itu tetap putih tanda haid sudah berhenti.”
Yang dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam
mendidik isteri bukanlah sekadar kata-kata asmara dana atau pujuk rayu. Tetapi
ia lebih daripada itu. Sifat dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah
mempunyai ciri pengasih, sekalipun jika dia seorang pemimpin. Ada waktu-waktu
yang tertentu apabila suami bersama isteri, suami hendaklah merendahkan sifat
egonya, seperti mana yang dibuat oleh Rasulullah SAW tatkala bersama Siti
Aishah.
Sewaktu Rasulullah SAW dinikahkan dengan Siti Aishah,
umur baginda 55 tahun manakala Siti Aishah baru enam tahun dan mereka bersama
tatkala Siti Aishah berusia sembilan tahun. Semasa melayan Siti Aishah, ada
masanya Rasulullah berlagak seperti kawan sepermainan. Siti Aishah diajak
berlumba lari. Kadang-kadang Siti Aishah menang dan adakalanya Rasulullah
menang. Bermakna sewaktu bersama isteri, adakalanya Rasulullah melayan kehendak
isterinya tanpa menjatuhkan martabatnya sebagai seorang suami yang wajib
dihormati oleh isteri. Ini menunjukkan bahawa pada masa-masa tertentu suami mesti
pandai memikat hati isteri asalkan tidak sampai terlalai hingga menurut saja
segala kemahuan isteri.
Di sinilah perlunya ketegasan seorang suami. Tegas
dalam syariat dan tegas dalam perjuangan. Tegas tidak pula bermakna kasar atau
garang cuma jangan sampai kerana hendak melayan kehendak isteri, syariat dan
perjuangan terpaksa diketepikan. Sebagai pemimpin dalam sesebuah rumahtangga,
suami berhak untuk mendidik dan menyelesaikan segala kekusutan fikiran
isterinya. Oleh kerana wanita seringkali bertindak mengikut perasaannya, maka
adakalanya apabila fikiran terganggu, emosinya juga terikut sama. Tatkala itu
kalau ada kesalahan suami walaupun kecil akan diungkit-ungkit lebih-lebih
lagilah jika kesalahan itu dianggap besar, mulalah meluap-luap perasaan marahnya
pada suami.
Memang satu sifat yang agar sukar untuk dikawal ialah
tatkala isteri sedang marah. Kadang-kadang dia mengamuk macam ribut taufan
lakunya (sebab itu kebanyakan nama ribut diambil dari nama perempuan umpamanya
Taufan Lydia, Ariel, Angela dan lain-lain). Bagaimana sepatutnya tindakan suami
untuk mententeramkan isteri yang sedang dilanda ribut taufan ini? Seeloknya
didiamkan saja dahulu sampai kemarahannya reda kemudian baru diterangkan dengan
sejelas-jelasnya setiap perkara yang perlu diterangkan terutama yang
menimbulkan prasangka isteri. Mengapa perlu diamkan saja orang yang sedang
mengamuk? Kerana tatkala sedang marah syaitan sengaja meluap-luapkan perasaan
marahnya. Kalau dijawab, bererti kita sengaja mencari pasal kerana berlawan
dengan syaitan. Maka lebih baik didiamkan sahaja sehingga perasaan marahnya
kendur.
Ada kalanya demi keharmonian rumahtangga, ada
perkara-perkara tertentu yang tidak sepatutnya diketahui oleh isteri. Kalau
perlu disembunyikan dari pengetahuan isteri, sembunyikan sungguh-sungguh.
Bukanlah untuk menggalakkan suami mengambil kesempatan melakukan perkara yang
sumbang dan berbuat dosa di belakang isteri. Tetapi jika perkara yang
disembunyikan itu tidak bertentangan dengan syariat, memang ada baiknya
disembunyikan. Mungkin ia berhubung dengan suatu perkara yang isteri masih
sukar untuk menerimanya. Hal ini pernah berlaku dalam rumahtangga Rasulullah
SAW.
Suatu hari isteri-isteri datang menemui Baginda, dan
Siti Aishah, yang mewakili mereka semua, bertanya: “Wahai Rasulullah, di antara
isteri-isteri Rasulullah,yang manakah yang paling Rasulullah sayangi?”
Rasulullah SAW tersenyum mendengar pertanyaan itu. Rasulullah tidak terus
menjawabnya. Bahkan Baginda menyuruh kesemua isterinya pulang dahulu dan
berjanji akan memberikan jawapannya kemudian. Bagaimana harus dijawab kalau
anda ditanya begitu oleh isteri-isteri anda? Memang tidak dinafikan perasaan
kasih sayang itu tidak boleh diberi sama adil. Ini diakui oleh Allah SWT.
Tetapi suami mestilah pandai memainkan peranannya supaya jangan ada di kalangan
isteri-isteri yang tersinggung perasaanya kerana mengetahui suami lebih sayang
kepada isteri yang tertentu. Berbalik kepada kisah tadi, maka seperti biasa
Rasulullah SAW mendatangi isteri-isterinya mengikut giliran masing-masing. Rasulullah
sedikit pun tidak menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya
sebelum baginda meninggalkan isterinya, setiap seorang baginda hadiahkan
sebentuk cincin dan baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu pada
isteri-isteri yang lain.
Pada hari yang telah ditetapkan Rasulullah SAW menyuruh
isteri-isterinya berkumpul kerana baginda hendak memberi jawapan kepada
persoalan yang dikemukakan. Maka berdebar-debarlah hati masing-masing untuk
mengetahui siapakah di antara mereka yang paling disayangi oleh Rasulullah. Ada
yang terasa pasti jawapannya Siti Aishah kerana beliaulah yang termuda di
antara mereka. Tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah SAW, Baginda pun berkata,
“Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka
tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka dia
sahaja yang menerima cincin tersebut. Begitulah sepatutnya tindakan suami,
pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri.
Satu perkara lagi biasanya kaum perempuan suka berleter
atau setengah orang kata macam mulut murai. Suami yang bijak akan berdiam dan
tidak menjawab leteran isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah, tetapi
sebagai satu strategi. Ibarat orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit jangan
terus dicabut kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu sehingga
sakitnya berkurangan barulah dicabut. Maknanya isteri yang sedang berleter,
jangan dinasihati. Hendaklah tunggu keadaannya menjadi kendur, barulah boleh
dinasihati. Dan nasihat itu mestilah kena pada tempatnya. Maka barulah diterima
dan dirasakan seperti kepala yang disirami embun pagi pada kala panas terik.
Rasulullah SAW juga pernah berhadapan dengan kerenah perempuan yang suka
berleter. Rasulullah tidak menjawab sepatah pun. Baginda memberi peluang kepada
perempuan tersebut meluahkan ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah
diluahkan, barulah baginda memberi penjelasan atau pun memaafkan saja dan
melupakan perkara tersebut.
Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak kerenah.
Beruntunglah suami yang memiliki isteri yang sikapnya terlalu pengasih terhadap
suami dan anak-anak. Perempuan begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan
raganya untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. Dia akan bersikap sebagai
penghibur, penyayang, pendorong dan pembantu kepada perjuangan suami sekiranya
suaminya seorang pejuang atau pendakwah. Isteri begini bukan sahaja tidak
membebankan suami dengan masalah-masalahnya, bahkan dia akan berusaha untuk
menyelesaikan masalah suaminya. Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa
memiliki isteri yang solehah, maka sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari
agamanya.”
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:
“Dunia adalah
hiasan dan hiasan yang terbaik ialah memiliki isteri yang solehah.”
Apabila wanita dapat dididik dengan betul, maka ia
dapat memberi kebaikan yang besar kerana di tangan wanitalah penentu corak
generasi akan datang. Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang
solehah boleh membahagiakan seisi alam.
0 komentar :
Posting Komentar